suria

Pemimpin MCA Terima Ugutan Kerana Edar Borang BR1M

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Selangor Kelvin Chong Seng Foo hari ini membuat laporan polis ekoran beliau menerima ancaman kecelakaan jika meneruskan pengedaran borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Chong yang juga Pegawai Penyelaras MCA bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku membuat laporan itu di Balai Polis Seapark di sini kira-kira 9.40 pagi ini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, katanya beliau menerima ugutan sebanyak lima kali melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 24 Dis lepas supaya jangan mengedarkan borang BR1M kepada rakyat terutama di kawasan Petaling Jaya.

"Ugutan iaitu ancaman supaya saya tidak memandu kereta lagi, kalau tidak saya akan mengalami kemalangan," katanya.

Katanya, beliau percaya ugutan itu adalah perbuatan daripada pihak pembangkang dan menganggap ini salah satu cara untuk melumpuhkan niat kerajaan membantu rakyat.

Chong berkata orang ramai boleh mendapatkan borang BR1M melalui Pusat Khidmat bergerak yang dijalankan dua kali setiap minggu di kawasan Kampung Tunku dan sekitar Damansara Utama atau mendapatkannya sendiri di Pusat Khidmat MCA di Jalan 21/17, Seapark.

"Ramai yang tidak tahu tentang bantuan ini terutamanya di kalangan masyarakat Cina kerana mereka tidak faham (borang dalam Bahasa Melayu) dan takut salah mengisi borang tersebut, jadi kami harap mereka boleh datang dan berjumpa terus dengan saya atau sesiapa sahaja yang berada di Pusat Khidmat Pelanggan tersebut," katanya.

Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Selangor Datuk Theng Book berkata ugutan itu tidak akan mematahkan usaha pihaknya untuk terus mengedarkan borang itu.

"Biro Pengaduan Awam (MCA) Selangor menerusi Kelvin, Datuk CK Lim dan saya sendiri telah mengedarkan kira-kira 5,000 salinan borang kepada rakyat. Semua rakyat bertanyakan borang itu dan kami sebagai pekerja sosial, kami membantu mereka mengisi borang dan menyerahkannya kepada kerajaan," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2012 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan itu kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.

Pendaftaran permohonan BR1M yang telah bermula pada 10 Dis lepas akan berakhir pada 10 Jan depan. - BERNAMA

Artikel Lain