suria

Kerajaan Thailand Bayar Pampasan Kepada Mangsa Tragedi Letupan Bom

SUNGAI GOLOK: Kerajaan Thailand telah membayar pampasan sebanyak RM60,000 kepada enam keluarga mangsa dari Malaysia yang terbunuh dalam siri letupan bom di bandar ini pada September lalu.

Timbalan Pegawai Keselamatan Sungai Golok, Santi Chuduang berkata selain itu, sebanyak RM5,000 lagi turut diperuntukkan kepada lima mangsa rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan dalam kejadian yang sama. Beliau berkata pampasan tersebut dibayar kepada semua yang terlibat pada Oktober dan November lalu.

"Ini adalah tanda keprihatinan Kerajaan Thailand kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi itu," katanya kepada pemberita Malaysia selepas mesyuarat keselamatan dan demonstrasi keselamatan di Kampung Arissra di sini Selasa.

Beliau berkata setiap keluarga mangsa yang terbunuh menerima RM10,000 manakala mangsa yang cedera pula sebanyak RM1,000.

Katanya pampasan itu dibayar kepada semua mangsa cedera dan keluarga mangsa yang terkorban sama ada warga tempatan mahupun pelancong, termasuk rakyat Malaysia.

Bagaimanapun jumlahnya berbeza antara pelancong yang menjadi mangsa dan penduduk tempatan.

Pada 16 Sept lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun adalah antara enam rakyat Malaysia terbunuh dalam siri letupan bom itu.

Mereka yang terbunuh dalam kejadian itu iaitu Wong Kai Sean, 3; datuknya, Wong Hong Yep, 64; Chan Yau Wing, 52; Foong Too Keh, 45, Chan Yew Soon, 63; dan Ng Sai Kai, 63. Mangsa yang tercedera pula ialah Lai Yok Long; Wong Wai Siong; Wee It Cheng; Phoo King Kuang; dan Cheng Yew Mang.

Chuduang, yang juga Pegawai Daerah Sungai Golok, bagaimanapun berkata pihaknya bercadang menambah jumlah pampasan sekiranya kecederaan itu semakin serius dan menyebabkan kecacatan kekal.

"Kita akan mengambil kira tahap kecederaan dialami mangsa berkenaan sama ada kehilangan anggota badan dan sebagainya untuk memberikan pampasan tambahan," katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang untuk datang ke bandar ini kerana pihak berkuasa sentiasa memastikan tahap keselamatan terjamin.

Timbalan Ketua Polis Sungai Golok Leftenan Kolonel Toweesak Tongsangsee berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki rakyat tempatan yang terbabit dalam siri letupan itu.

Katanya lelaki berumur 26 tahun itu ditahan di sini beberapa hari selepas kejadian dan telah didakwa atas perbuatan itu.

Beliau berkata polis memburu sekurang-kurangnya 10 individu yang dipercayai terbabit dalam insiden berdarah tersebut.

"Kita mohon kerjasama termasuk pihak keselamatan di Malaysia jika mengetahui mereka yang kita buru ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain