suria

Keadaan Banjir Bertambah Baik, Bilangan Mangsa Berkurung

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa daerah di empat negeri menunjukkan tanda-tanda bertambah baik setakat 11 pagi ini dengan bilangan mangsa yang berada di pusat pemindahan menurun berbanding semalam.

Sarawak kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 3,999 orang berbanding 7,592 semalam, membabitkan empat daerah dan ditempatkan di 20 pusat pemindahan.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri berkata Samarahan mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan 3,123 mangsa daripada 743 keluarga, diikuti Kuching (648 orang daripada 168 keluarga), Sibu (128 mangsa daripada 30 keluarga) dan Sri Aman dengan 100 mangsa membabitkan 32 keluarga.

Paras air juga mula surut setakat ini, membolehkan penduduk kembali ke rumah masing-masing, namun keadaan masih diletak dalam kategori berjaga-jaga kerana paras air laut akan meningkat kembali pada sebelah petang, katanya ketika dihubungi.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,075 orang pagi ini berbanding 1,177 orang, petang semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, setakat pukul 10 pagi tadi, kesemua mereka ditempatkan di 17 pusat pemindahan iaitu lapan di Segamat, enam di Mersing dan tiga di Batu Pahat.

Sementara itu, menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat melebihi paras bahaya dengan paras air mencatatkan 3.23 meter dan 9.49 meter.

Empat batang sungai lagi direkodkan melebihi paras amaran iaitu Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat dengan 17.24 meter; Sungai Senggarang di Senggarang, Batu Pahat (3.25 meter); Sungai Simpang Kiri di Seri Medan, Batu Pahat (2.05 meter) dan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat (19.37 meter).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Rompin kini hanya tinggal 67 orang berbanding 567 petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, hanya dua pusat pemindahan dibuka iaitu di Dewan Teluk Gading yang menempatkan 52 orang daripada 14 keluarga dan Balai Raya Kampung Gadak menempatkan 15 orang membabitkan tiga keluarga.

"Mereka masih perlu berada di pusat pemindahan berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku di kampung mereka yang menyebabkan banjir," katanya ketika dihubungi.

Antara kampung yang terjejas akibat fenomena itu ialah Kampung Mentara, Kampung Sarang Tiong dan Kampung Gadak.

Di SANDAKAN, jumlah mangsa banjir Kampung Gum-Gum dekat sini yang dipindahkan ke pusat pemindahan juga menurun secara drastik kepada 57 orang setakat 10 pagi ini berbanding 351 orang petang semalam.

Jurucakap Bilik Operasi Banjir Sandakan berkata sebahagian mangsa banjir di kampung itu sudah dibenarkan balik, namun tetap bersedia untuk dipindahkan pada bila-bila masa jika air Sungai Gum-Gum naik mendadak.

Sebanyak 16 keluarga masih tidak dibenarkan pulang disebabkan rumah mereka terletak berhampiran tebing sungai yang mudah terdedah kepada banjir sekiranya air Sungai Gum-Gum meningkat.

Katanya Sungai Gum-Gum berada pada paras 2.6 meter iaitu paras berjaga-jaga. Di Daerah Kecil Paitan, air mula naik ke Kampung Pinampadan tetapi belum ada penduduk yang dipindahkan.

Penduduk di Kampung Tangkarason, Tanjung Nipis, Maidan, Lingkabau dan Simpangan diarahkan bersiap-sedia untuk berpindah sekiranya air meningkat secara mendadak di sungai berhampiran kampung tersebut.

Dalam pada itu, jalan di Km 2.7, Jalan Off SPSP 1 Beluran masih ditutup kepada kenderaan ringan kerana ditenggelami air dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif menggunakan Jalan Off SPSI kilometer 6.3. - BERNAMA

Artikel Lain