suria

JPS Terengganu Giat Tambak Kawasan Pantai

DUNGUN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu sedang giat menjalankan kerja-kerja penambakan di kawasan pantai peranginan Teluk Lipat di sini bagi mengurangkan hakisan.

Pengarahnya, Mat Hussin Ghani berkata, kerja menambak itu akan dilakukan secara berterusan sehingga Februari depan.

Penambakan ini adalah langkah segera bagi menangani masalah hakisan memandangkan kerja membina tembok kekal bukan saja mengambil masa tetapi juga melibatkan kos yang tinggi, katanya ketika dihubungi, Rabu.

Katanya, JPS memerlukan kira-kira RM30 juta bagi membina tembok kekal dan setakat ini telah membelanjakan RM2 juta bagi membina tembok bongkah batu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah memohon peruntukan daripada kerajaan pusat kira-kira RM15 juta bagi kerja menambak Pantai Teluk Lipat dan RM10 juta untuk Pantai Tok Jembal.

Sementara itu, tinjauan mendapati kerja-kerja menambak laut giat dijalankan di Pantai Peranginan Teluk Lipat, di sini.

Kerja penambakan turut dijalankan di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu bagi mengurangkan hakisan yang sebelum ini telah memusnahkan puluhan pokok rhu dan calet murah yang terdapat di sepanjang pantai tersebut.

Isnin lalu , Bernama melaporkan kejadian air pasang dan ombak besar yang melanda sebahagian kawasan pantai di negeri ini merupakan antara yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lepas.

Dungun merupakan daerah paling teruk terjejas dengan hampir sebahagian besar kawasan pesisir pantai peranginan Teluk Lipat dihakis ombak besar.

Fenomena itu juga mengakibatkan jalan raya sepanjang tiga kilometer berhampiran kawasan pantai itu runtuh dan rosak teruk serta terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan. - BERNAMA

Artikel Lain