suria

Dua Warga Nigeria Ditahan, Polis Rampas Dadah Bernilai RM50,000

KUALA LUMPUR: Dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lepas, dua lelaki warga Nigeria berjaya diberkas polis yang turut merampas dadah bernilai hampir RM50,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata dua lelaki terbabit termasuk seorang penuntut sebuah pusat pengajian tinggi swasta ditahan pada 22 Dis lepas.

Bercakap pada sidang media di sini Selasa, Mohmad berkata suspek pertama berusia 27 tahun ditangkap kira-kira 10.30 malam di sebuah restoran di Taman Melati, Wangsa Maju selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 15 ketulan tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dan satu paket plastik berisi dadah disyaki syabu yang diletakkan di dalam kereta suspek.

"Kita percaya suspek sedang menunggu pelanggan bagi mengedarkan dadah tersebut," katanya.

Beberapa jam kemudian suspek membawa polis ke sebuah unit kondominium di Cheras di mana suspek kedua berusia 29 tahun ditahan serta penemuan dua ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja.

Katanya kedua-dua lelaki itu juga disahkan positif dadah.

"Siasatan lanjut mendapati suspek pertama seorang penuntut institut pengajian tinggi swasta dalam bidang kejuruteraan manakala suspek kedua tidak mempunyai dokumen," katanya.

Kedua-dua lelaki itu ditahan reman sehingga 29 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain