suria

Dua Bekas Pengarah IIB Ditahan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua bekas Pengarah Iskandar Investment Berhad (IIB) atas pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM5 juta.

Kedua-dua mereka yang berusia dalam lingkungan 40-an dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Baru pada hari ini atas tuduhan rasuah melibatkan pembinaan lebuh raya bernilai RM124 juta dan sekolah berasrama RM40.8 juta di daerah Iskandar.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada pakej 3B bernilai RM2 bilion melibatkan anak syarikat di mana kedua-dua mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif, kata sumber.

Sumber mendakwa kedua-dua mereka dan beberapa individu yang disiasat telah membeli hartanah dengan wang yang diperolehi.

SPRM akan mengemukakan permohonan untuk menyita hartanah tersebut.

Sumber juga berkata, SPRM telah menjalankan siasatan terhadap beberapa projek selama beberapa bulan dan merampas fail serta dokumen daripada syarikat berkaitan.

Tambahnya, mereka yang disiasat mempunyai kaitan dalam projek tersebut termasuklah seorang ahli politik berpangkat Datuk.

Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah mengesahkan penahanan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Artikel Lain