suria

Bekas Pembantu Gerai Dipenjara 18 Tahun Miliki Dadah

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang bekas pembantu gerai makanan setelah didapati bersalah memiliki dadah jenis kanabis awal tahun ini.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim memerintahkan agar hukuman terhadap Noor Azman Abidin, 40, itu dijalankan dari tarikh dia ditangkap di kawasan letak kereta belakang Pasar Raya Sunshine di Air Itam di sini pada 3 petang 5 Jan lepas kerana memiliki kanabis seberat 1,941 gram.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang menetapkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saliza Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Hussaini Abdul Rashid.

Terdahulu dalam prosiding pada Rabu Hussaini memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara yang ringan dan bukannya seumur hidup bagi memastikan kehidupan keluarga tertuduh terjamin memandangkan isterinya tidak bekerja dan dua daripada tiga anaknya masih bersekolah. - BERNAMA

Artikel Lain