suria

Bangunan Pusat Berita Bersepadu RTM Ikon Bidang Penyiaran Negara:Rais

KUALA LUMPUR: Bangunan Pusat Berita Bersepadu Radio Televisyen Malaysia(RTM) di Bukit Angkasapuri di sini yang menelan belanja RM100 juta akan menjadi ikon atau mercu tanda kejayaan dalam bidang penyiaran negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata ia juga akan dijadikan pusat penyampaian berita dan hal ehwal semasa di samping berfungsi sebagai pusat arkib dan pentadbiran untuk kakitangan RTM.

"Dengan ini maka terjelmalah impian kementerian dan kerajaan untuk mewujudkan prasarana bagi tujuan pemberitaan. Secara puratanya projek ini telah pun siap 94 peratus dan memerlukan enam peratus lagi untuk disiapkan menjelang 21 Jan tahun depan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak projek bangunan itu di Bukit Angkasapuri di sini Rabu.

Rais berkata bangunan setinggi lima tingkat itu, yang pembinaannya dimulakan pada 28 Jan 2009, bertujuan memberikan kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk pemberitaan.

"Ini mungkin akan menjadi contoh besar kepada pihak-pihak yang ingin melihat bagaimana sesebuah negara membangun berkebolehan mewujudkan infrastruktur dan prasarana yang lengkap, canggih dan menjurus kepada cita-cita membina negara," katanya.

Rais berkata RTM kini tidak boleh lagi bersandar kepada cara lama malah perlu lebih bersikap menonjol dan berdaya saing untuk membentuk penjenamaan baru dan produk pemberitaan yang berkualiti.

"Kita melihat perkara ini harus ditingkatkan dari sudut generasi baru dengan kemudahan media baru, di samping keperluan kita mewujudkan para pekerja yang berubah sikapnya kerana pembabitan sikap ini amat penting," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain