suria

Polis Tahan Semula Lelaki Yang Dikaitkan Dengan Isu NFC

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang ditahan reman lima hari sejak Khamis lepas bagi membantu siasatan kes dana Pusat Fidlot Nasional (NFC), hari ini ditahan polis bagi membantu siasatan satu kes lain.

Peguam yang mewakilinya, Datuk Ahmad Damanhuri Mohd Yusof memberitahu pemberita anak guamnya ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, selepas dibebaskan di Pusat Tahanan Sementara Balai Polis Bukit Jalil, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, dan berkata lelaki tersebut ditahan berhubung dakwaan penipuan projek stesen minyak di Lembah Klang.

Mengulas lanjut, Syed Ismail berkata satu laporan polis bertarikh 7 Ogos 2009, antara lain menyebut seorang pengadu wanita berusia 40-an mendakwa menemui suspek berhubung projek stesen minyak itu.

"Suspek dikatakan meminta wang RM280,000 sebagai 'consultant fee' bagi membantu pengadu mendapatkan projek itu, tetapi mendakwa gagal mendapatkannya sehingga kini seperti yang dijanjikan suspek.

"Berdasarkan laporan itu, hari ini kita menahan suspek selepas dibebaskan pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," kata Syed Ismail.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai tempoh tahanan terhadap lelaki itu, namun menjelaskan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki berusia 45 tahun itu ditahan reman lima hari bermula 22 Disember lepas bagi membantu siasatan kes NFC mengikut Akta SPRM 2009.

Isu NFC itu berbangkit berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2010 Oktober lepas yang menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya manakala pembangkang pula mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana, khususnya berkaitan pembelian kondominium mewah di Lembah Klang. - BERNAMA

Artikel Lain