suria

Kerajaan Buka Semula 10 Sektor Dan 11 Subsektor Sertai Proses Pemutihan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membuka semula 10 sektor luar dasar dan 11 subsektor perkhidmatan yang sebelum ini dibekukan bagi menyertai proses pemutihan Program 6P.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata keputusan itu yang berkuat kuasa serta-merta bagaimanapun disertai syarat tempoh penggajian pekerja dan pendatang tanpa izin terbabit hanya untuk dua tahun.

"Pada masa sama, sektor informal iaitu Pembantu Rumah Asing turut diluluskan untuk proses pemutihan dan diletakkan di bawah Jabatan Imigresen, manakala agensi kawal selia proses pemutihan pula diberi kuasa melonggarkan syarat serta kriteria sedia ada.

"Keputusan ini dibuat Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin dan sah berkuat kuasa sehingga proses pemutihan selesai," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu susulan rayuan pelbagai pihak yang mahu perkara terbabit dikaji semula.

Sepuluh sektor luar dasar berkenaan ialah krupier, perlombongan/kuari, kayu bakau, gerai/kafe/kantin/katering, restoran, makanan segera, pemotong rumput, vendor akhbar, pencuci rumah ke rumah, pencuci kenderaan dan bengkel kereta.

Manakala subsektor perkhidmatan pula ialah barangan logam/lusuh/terpakai, pengendalian kargo, rumah kebajikan, spa/refleksologi, perhotelan, kedi/padang golf, dobi, tukang gunting, tukang emas, perniagaan runcit dan borong serta perniagaan tekstil.

Sementara itu, Mahmood berkata kementerian tersebut membuka cawangan ketiga pusat setempat bagi proses pemutihan di Jabatan Imigresen Seberang Jaya, Pulau Pinang bagi melicinkan proses itu.

Kesemua tiga pusat setempat proses pemutihan ini akan beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 5 petang, sehingga proses pemutihan berahir pada 10 Jan, katanya.

Untuk maklumat lanjut, majikan dan orang ramai diminta melayari laman sesawang kementerian di www.moha.gov.my atau menghubungi talian hotline 88801157. - BERNAMA

Artikel Lain