suria

Ini bukan perkara main-main...

ISU mengenai bas sama ada bas ekspres mahu pun bas berhenti-henti tidak pernah sudah dan berakhir sejak penulis bertugas di kementerian yang menjaga hal ehwal bas dan pengangkutan awam iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari tahun 2004 lagi.

Yang terbaru kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati, penggunaan bas bertingkat adalah tidak selamat dan sesuai bagi perjalanan jarak jauh terutama di laluan yang berselekoh serta sempit kerana ia mempengaruhi kestabilan bas dan berisiko mengakibatkan kemalangan.

Kajian itu mendapati, bas bertingkat hanya sesuai untuk digunakan di laluan yang selesa seperti di kawasan bandar atau di lebuh raya. Malangnya di lebuh raya juga masih terdapat kawasan berselekoh serta berbukit. Jadi ia tetap berbahaya untuk digunakan di lebuh raya.

Dengan hasil kajian oleh Miros itu, adalah wajar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menentukan semula laluan yang boleh menggunakan bas jenis itu bagi mengelakkan kemalangan jiwa yang lebih dahsyat daripada berlaku.

Untuk rekod, 6,872 kematian akibat kemalangan jalan raya telah dicatat sepanjang tahun lalu dan daripada jumlah itu kira-kira satu peratus kematian adalah melibatkan kemalangan bas.

Walaupun jumlah itu kecil tetapi kematian melibatkan kemalangan bas adalah kematian berkelompok dan ia adalah pengangkutan awam. Dan oleh kerana ia telah menjadi satu kepentingan awam, pihak berkuasa yang mengawal selia pengangkutan darat perlu menguatkuasakan peraturan mengharamkan penggunakan bas bertingkat di lebuh raya dan juga untuk perjalanan jarak jauh.

Selamat tinggal Mingguan mStar

Dan sebagaimana yang para pembaca semua sedia maklum ini adalah keluaran terakhir Mingguan mStar dalam bentuk cetak.

Selepas ini mStar akan terbit dalam bentuk digital sepenuhnya. Terima kasih kerana setia bersama kami. Terima kasih kerana memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mStar.

Artikel Lain