Pelajar, Bayi maut Dalam Kemalangan Di Lipis - Semasa | mStar

Pelajar, Bayi maut Dalam Kemalangan Di Lipis

KUALA LIPIS: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara dan seorang bayi lelaki berusia 10 bulan maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta yang terbakar dan meletup di Km 23, Jalan Lipis-Benta di sini.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, Hadino Zafan Jasman, 23, yang memandu bersendirian terbunuh di tempat kejadian.

Bayi lelaki itu, Mohd Farhan Darwiz yang bersama datuk, nenek dan abangnya dalam sebuah lagi kenderaan juga disahkan maut di tempat kemalangan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mengulas kejadian itu, Abdul Razak berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Hadino Zafan dari arah Kota Baharu menuju ke Kuala Lumpur hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan.

"Kereta itu berpusing beberapa kali sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Honda dinaiki sebuah keluarga yang datang dari arah Kuala Lumpur," katanya.

Akibat pelanggaran itu, kereta yang dipandu Hadino Zafan terbakar sebelum meletup menyebabkan pemuda itu melecur hampir 90 peratus pada bahagian badannya.

Sementara itu, pemandu sebuah lagi kereta yang hanya dikenali sebagai Mohd Zin sempat mengeluarkan isterinya Hamidah Kasur, 51, dan dua cucu mereka iaitu Mohd Farhan Darwiz serta Mohd Fahmi Danial, 4, sebelum kenderaan itu terbakar.

Bagaimanapun Mohd Farhan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Manchester United sedia pujuk Pogba