suria

Kesatuan Alukan Kadar Upah Pelabuhan Klang Diselaraskan

PELABUHAN KLANG: Pelaksanaan kadar upah yang selaras untuk kerja memunggah di pelabuhan ini dapat menarik lebih ramai pekerja tempatan selain mengawal potongan harga tidak sihat di kalangan kontraktor.

Menurut Setiausaha Kesatuan Pekerja Pembekal Perkhidmatan Tambahan Pelabuhan, A. Balasubramaniam, kadar upah yang baru bagi perkhidmatan berkenaan RM4 setiap kontena mula berkuatkuasa bulan lepas.

Beliau berkata sebelum ini pihak kontraktor bersaing memotong harga antara satu sama lain dengan mengenakan RM3.20 setiap kontena yang merugikan pekerja kerana gaji mereka dikira mengikut jumlah kontena yang dikendalikan setiap hari.

Kadar upah yang rendah itu menyebabkan ramai orang tempatan tidak mahu membuat kerja itu yang kemudian dijalankan oleh pekerja asing, katanya.

Pada masa ini kira-kira lapan kontraktor bersama 700 pekerja yang kebanyakannya warga Bangladesh dan Myanmar membuat kerja memunggah di pelabuhan. Kira-kira 25 orang pekerja diperlukan untuk memunggah sebuah kapal yang membawa 300 kontena bagi setiap kerja lapan jam.

Balasubramaniam, yang juga naib presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memuji Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Teh Kim Poo, yang mengambil dayausaha menyelaraskan kadar bayaran upah tersebut.

Beliau berharap pihak berkuasa pelabuhan itu juga akan melihat gaji kerani pemeriksa yang katanya kali terakhir disemak pada tahun 1993. - BERNAMA

Artikel Lain