KUALA LUMPUR: Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu mengetahui hak mereka dari segi perundangan bagi memastikan mereka tidak diketepikan.Presiden Majlis Gabungan Persatuan OKU Malaysia Datuk Mah Hassan Omar berkata Akta OKU 2008 dapat melindungi dan memastikan golongan itu mempunyai hak sama rata dengan insan lain daripada segi perundangan. "Melalui akta tersebut, OKU boleh mengheret mereka yang menyalahguna dan tidak menyediakan fasiliti OKU ke mahkamah. OKU perlu mempunyai akses terhadap kemudahan yang disediakan, sama seperti manusia normal."Setiap OKU perlu tahu hak mereka dan bersikap proaktif untuk 'grab' hak mereka, mereka mesti berusaha mendapatkannya kerana hak itu tidak datang bergolek," katanya ketika dihubungi Bernama.Diwartakan pada 24 Jan 2008, akta berkenaan memberi hak daripada segi pendaftaran, perlindungan, pemulihan dan pembangunan kepada golongan OKU.Mah Hassan memberikan contoh bagaimana institusi kewangan yang gagal menyediakan kemudahan bagi OKU menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) boleh dibawa ke mahkamah atau ke pengetahuan Bank Negara Malaysia menerusi peruntukan akta tersebut.Beliau berkata Akta OKU 2008 juga menukar tujuan penyediaan fasiliti OKU daripada kebajikan kepada keperluan hak asasi golongan itu.Katanya akta itu tidak mengenakan hukuman terhadap mereka yang menyalahgunakan kemudahan OKU kerana ia lebih bersifat hak asasi yang mengutamakan pendidikan, bukan hukuman."Saya merupakan pengerusi jawatankuasa teknikal semasa peringkat awal penggubalan akta ini. Selepas draf (akta itu) diserah kepada Jabatan Peguam Negara, cadangan penalti itu digugurkan kerana akta ini seharusnya berkaitan hak asasi OKU."Jika kita hukum mungkin mereka (pesalah) akan ingat tetapi untuk masa singkat. Bila kita didik, mereka akan ingat untuk masa yang lama. Semua pihak perlu iktiraf OKU dan beri OKU peluang ini," katanya.Mah Hassan berkata pendidikan tentang hak golongan OKU perlu melibatkan pihak seperti agensi kerajaan serta swasta, anggota masyarakat dan OKU itu sendiri. - BERNAMA