suria

Jakim Guna Pelbagai Saluran Siasat Dakwaan Lelaki Kahwin Di Ireland

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggunakan pelbagai saluran untuk menyiasat kesahihan kes seorang pelajar lelaki Malaysia berkahwin dengan seorang lelaki Ireland di luar negara seperti yang dipaparkan dalam media massa dan internet.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata ia termasuk mengadakan kerjasama dengan Kementerian Luar Negeri, sahabat terdekat pelajar terbabit serta agensi lain yang berkaitan termasuk pihak berkuasa negara itu.

"Kita sedang buat siasatan bersama Kementerian Luar dan agensi lain, kita belum dapat maklumat (perkembangan baru). InsyaAllah dalam sedikit masa lagi kita akan ketahui kesahihannya," kata beliau.

Othman berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan siasatan berhubung isu pelajar berkenaan yang dikatakan berkahwin dengan pasangannya, seorang lelaki di dalam gereja di Ireland, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam usaha menjalankan siasatan itu, pihaknya perlu mematuhi dan menghormati undang-undang di negara berkenaan sebelum mengambil apa-apa tindakan terhadap pelajar terbabit.

Beliau juga tidak menafikan menghadapi kesukaran untuk menangani masalah itu termasuk usaha membawa balik pelajar terbabit ke Malaysia kerana ia terletak di bawah bidang kuasa dan perundangan negara tersebut.

Othman sebelum itu menghadiri Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan di Primula Beach Resort di sini hari ini yang melibatkan 800 peserta dari seluruh negara.

Ketika berucap di majlis berkenaan Othman yang mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim meminta pihak agama berkuasa negeri menjaga kebajikan saudara Muslim baru untuk mengelakkan mereka terlibat dengan isu bertentangan agama Islam khususnya murtad.

Katanya sejarah Islam di zaman Saidina Abu Bakar telah bertindak memerangi golongan yang terkeluar daripada Islam dan sehubungan itu semua pihak harus bersama-sama berusaha menjaga akidah saudara Muslim baru ini supaya terus terpelihara.

Beliau berkata, kerajaan sedar dengan pada masa kini terdapat beberapa ancaman yang dihadapi oleh umat Islam dalam bentuk penghakisan akidah dan iman oleh musuh Islam menerusi pelbagai cara termasuk ajaran, hiburan dan makanan. - BERNAMA

Artikel Berikut

10 Motosikal Terbakar Di Flat

Artikel Lain