suria

Suspek Kes Culik Kanak-Kanak Direman 10 Hari

GEORGE TOWN: Seorang wanita berumur 25 tahun pada Sabtu dikenakan tahanan reman 10 hari kerana disyaki suspek dalam kes penculikan dan penderaan dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika sedang bermain di kawasan rumah di flat Jalan Padang Tembak, Air Itam, 13 Disember lalu. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, suspek ditahan reman selama 10 hari sehingga 2 Januari depan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik kerana hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek disyaki positif dadah jenis heroin.

"Suspek juga ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah culik dan mendera kanak-kanak tersebut," katanya di sini, Sabtu.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu pengurungan salah dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit pada Sabtu.

Dua kanak-kanak berusia antara tujuh dan lapan tahun yang dilaporkan hilang ketika sedang bermain di kawasan rumah mereka, sejak 13 Disember lalu, telah ditemui kira-kira jam 1 petang semalam dan polis berjaya menahan seorang wanita.

Suspek mengaku mengurung dan mendera kedua-dua kanak-kanak itu selama 10 hari di rumahnya selepas menyangka bahawa kedua-dua mereka mencuri wang dan telefon bimbit miliknya.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua kanak-kanak itu di Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati terdapat kesan kecederaan dan kesan lebam serta melecur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Motosikal Terbakar Di Flat

Artikel Lain