suria

Sindiket Penyeludupan Rokok Terbesar Ditumpaskan

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Selangor mencatatkan kejayaan besar dengan menumpaskan cubaan satu sindiket antarabangsa untuk menyeludup rokok putih bernilai RM5.1 juta dalam serbuan di Pelabuhan Barat di sini pada Isnin.

Pengarahnya Datuk Azis Yacub berkata rampasan itu, dipercayai yang terbesar di negara ini dalam beberapa tahun, turut melibatkan duti tidak berbayar bernilai kira-kira RM46 juta.

Katanya pasukan penguatkuasa, selepas menjalankan intipan kira-kira dua minggu, merampas 12 kontena di atas kapal CSAV Pyrennes, yang berlabuh di Pelabuhan Barat pada kira-kira 2.30 pagi, 19 Disember lepas.

"Siasatan mendapati 10 daripada kontena itu diisytiharkan sebagai kepingan marmar dari Oman dalam borang eksport, dipenuhi lebih 510,000 karton rokok "Malimbo" dan hanya dua kontena mengandungi marmar.

"Dengan kes ini, kami percaya Kastam telah berjaya menumpaskan cubaan menyeludup rokok terbesar ke dalam negara ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini," kata Azis kepada pemberita di Wisma Kastam dekat sini, Khamis.

Beliau berkata kontena itu yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Lama Iskandariah, Mesir, telah menjalani pemindahan di Pelabuhan Pulau Pinang sebelum berhenti di Pelabuhan Barat.

Azis berkata siasatan awal mendapati rokok itu berasal dari Emiriyah Arab Bersatu .

"Seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an, yang menjalankan transaksi pemindahan itu ditahan untuk disoal siasat," katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 (Akta 235) iaitu cuba mengelak duti kastam yang memperuntukkan hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai barangan atau denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain