suria

Seramai 218 Mangsa Banjir Dipindahkan Ke Pusat Pemindahan Di Maran

MARAN: Seramai 218 mangsa banjir dipindahkan di dua buah pusat pemindahan banjir di daerah Maran berikutan kawasan kediaman mereka dinaiki air antara 0.5 hingga 1.5 meter.

Menurut Anggota Parlimen Maran Datuk Ismail Abd Muttalib, sehingga jam 12 tengah hari tadi, mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan terdiri daripada 51 keluarga dengan jumlah seramai 218 orang.

"Sebanyak dua buah kampung terlibat iaitu kampung Paya Chedong dan Kampung Luit dan semua mangsa ditempatkan di dua buah pusat pemindahan," katanya ketika di temui di sini, hari ini.

Katanya mangsa banjir terbabit seramai 179 orang daripada 42 keluarga dari Kampung Paya Chedong dipindahkan ke Jabatan Perpaduan daerah Maran dan seramai 39 orang terdiri daripada sembilan keluarga dari Kampung Luit dipindahkan ke Balai Raya Kampung Luit.

"Mereka terbabit dipindahkan awal pagi tadi berikutan tempat tinggal mereka dilanda banjir ekoran hujan lebat yang turun sejak semalam," katanya.

Katanya mangsa-mangsa tersebut juga telah menerima bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita sentiasa memantau keadaan mereka dan segala keperluan mangsa ini akan diberi dari masa ke semasa," katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz yang meramikan program Modul Literasi Maklumat 1Malaysia, di Sekolah Kebangsaan Padang Luit, dekat sini, turut melawat mangsa banjir di Balai Raya Kampung Luit.

Beliau turut menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada mangsa terbabit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain