suria

Peniaga 'Uptown' Danau Kota Minta DBKL Dan Ahli Parlimen Selesaikan Masalah Mereka

KUALA LUMPUR: Sekumpulan peniaga larut malam di Danau Kota, Setapak di sini meminta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong menyelesaikan masalah mereka yang mendakwa hanya dibenarkan berniaga lima hari seminggu berbanding enam hari sebelum ini.

Presiden Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah berkata para peniaga tersebut mendakwa pihak DBKL telah mengeluarkan arahan agar mereka berniaga selain dari hari Isnin dan Selasa, berbanding hanya hari Khamis sebelum ini.

Katanya tindakan itu telah menyebabkan para peniaga tersebut kerugian hampir RM700 sehari dan ia menjejaskan pendapatan mereka.

"Saya memberikan tempoh seminggu kepada DBKL dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong supaya berbincang dan menyelesaikan segera isu ini atau kita bersama-sama peniaga akan mengadakan bantahan di Parlimen," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan bantahan aman di pejabat Wee di sini, Khamis.

Beliau berkata laporan lengkap mengenai isu itu juga akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk perhatian segera.

Sebelum itu, kira-kira 600 peniaga terbabit berarak dari kawasan perniagaan mereka ke pejabat Wee. Mereka mula berhimpun kira-kira pukul 2 petang sebelum beredar secara aman sejam selepas itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain