suria

Empat Maut Dalam Tiga Nahas Di Pahang

KUANTAN: Empat orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam tiga kejadian kemalangan jalan raya berasingan di Pahang semalam.

Di Temerloh, kemalangan melibatkan sebuah lori treler membawa besi dengan sebuah kereta di Km101.4 Lebuhraya Pantai Timur, mengakibatkan pemandu kereta terbabit, Mohd Syarul Ghafaar, 33, dan penumpang, Abu Bakar Abdul Kadir, 26, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman, dalam kejadian 1.34 pagi itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur.

"Sampai tempat kejadian, dipercayai mangsa telah melanggar belakang lori terbabit yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan," katanya.

Di Bentong, seorang peneroka, Azmi Ismail, dari Felda Kampung Sertik, terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya terbabas selepas terlanggar ketulan batu di jalan utama Kampung Sertik pada 11.24 pagi semalam.

Dalam kejadian di Kuala Lipis pula, seorang kanak-kanak lelaki terbunuh selepas kereta yang dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terbabas di Km70 Jalan Kuala Lipis-Merapoh dekat Kuala Lipis.

Zainalabidin berkata, dalam kejadian 10.10 pagi itu, Muhammad Faris Rosman, 9, bersama bapa dan ibu serta kakaknya dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

"Kenderaan yang dipandu bapa mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan.

"Mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta disahkan mati di tempat kejadian manakala ahli keluarganya yang lain hanya cedera ringan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain