suria

Dr Chua Ramal Lebih Banyak Pertelingkahan Sesama Pembangkang Menjelang Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meramalkan lebih banyak pertelingkahan akan berlaku dalam Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum yang semakin hampir.

Beliau berkata pergolakan dalam PAS yang membabitkan bekas Pesuruhjaya Selangor Datuk Dr Hasan Ali hanya permulaan dan pertengkaran yang lebih akan berlaku dalam gabungan parti pembangkang.

"Ahli-ahli dalam PAS, DAP dan PKR berjuang untuk menjadi calon pilihan raya," katanya pada sidang akhbar sempena Sambutan Eco Solstis Musim Sejuk Hijau di Sungai Wang Plaza di sini, Khamis.

"Semua orang mahu menjadi YB. Saya menjangkakan akan berlaku lebih banyak pergaduhan. Sebagai contoh, ahli-ahli DAP di Johor telah berperang sesama sendiri kerana mereka merasakan mereka boleh menang di negeri itu.

Di MUAR, Dr Chua berkata parti komponen Pakatan Rakyat menghadapi masalah yang serius kerana pemimpin-pemimpin mereka menyangka bahawa mereka boleh mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata DAP menjadi terlalu yakin dan berasa bahawa orang Cina akan menyokong parti itu.

"Pada masa yang sama, PAS sedang menghadapi masalah yang berkaitan dasar Islam di kalangan pemimpin, selain perselisihan pendapat yang berterusan dengan DAP mengenai isu negara Islam.

"Dalam PKR, ramai ahli-ahli yang meninggalkan parti kerana tidak mempunyai hala tuju dan kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap kepimpinannya," kata Dr Chua di majlis makan malam ulang tahun keempat Hai Yang Club di sini.

Dalam isu berasingan, beliau berkata MCA mahukan sekurang-kurangnya RM900 gaji minimum di negara ini, untuk meletakkan Malaysia setanding dengan Hong Kong dan Singapura.

"Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada pekerja asing dan upah yang rendah untuk berdaya saing."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain