suria

Warga Emas Kaki Tipu Ditahan Polis

RAUB: Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas dipercayai menipu orang ramai dengan tawaran pelbagai jenis projek dan perusahaan yang mengakibatkan mangsa kerugian ratusan ringgit. ribu

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata tindakan licik lelaki berusia 62 tahun itu akhirnya tumpas selepas dia tertangkap dalam satu urus niaga di ibu negara.

Katanya beberapa mangsa membuat pakatan untuk menawarkan urus niaga bernilai RM120,000 sebelum suspek bersetuju untuk bertemu mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Beliau berkata sebelum ini mangsa sukar menghubungi suspek selepas wang mereka dilesapkan namun kerjasama mangsa dan polis berjaya memberkasnya dengan menjadikan urusniaga berkenaan sebagai umpan.

"Suspek yang ditahan di Balai Polis Dang Wangi kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Raub bagi meneruskan siasatan penipuan terhadap mangsa di sini," katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata pada April lalu, suspek yang berasal dari Nenasi, Pekan itu bersama isterinya datang ke rumah mangsa dengan menawarkan projek pembinaan stesen minyak di Mukim Gali di sini.

Katanya suspek yang mengaku sebagai ejen syarikat petroleum Petronas meminta mangsa memasukkan wang beberapa kali sehingga berjumlah keseluruhannya RM40,000.

"Suspek yang pernah tinggal di Mukim Gali itu berterusan meminta wang daripada mangsa tetapi tidak pernah menunjukkan sebarang perkembangan proses urus niaga dan terbaru suspek meminta lagi wang RM120,000 dan mangsa menyedari urus niaga yang disebut tidak pernah wujud," katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati tiga lagi kes berasingan yang melibatkan aktiviti penipuan suspek dilaporkan di Pontian, Johor.

Katanya suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain