suria

Tiga Mangsa Nahas Bas Ekspres Dikenal Pasti

KOTA KINABALU: Tiga daripada enam pelancong Brunei yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres di Tuaran telah dikenal pasti.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang berkata mereka ialah Haji Abdul Manan Haji Ishak, 50, Pangiran Hajah Zahama Pangiran Haji Zainal, 61, dan Hajah Dayang Norhayati Haji Abdul Hadi, 61.

Dua yang lain hanya dikenali sebagai Hajah Faridah, 60, dan Haji Sapawi, 60, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

"Kami meminta rakan penumpang bas berkenaan mengenal pasti identiti mereka dan belum sempat menyemaknya dengan Jabatan Imigresen kerana apa yang lebih penting adalah menyelamatkan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa nahas di Hospital Queen Elizabeth selepas ke Hospital Tuaran malam Selasa.

Beliau berkata enam penumpang bas ekspres itu cedera parah, 12 lagi separa parah manakala enam cedera ringan.

Tan juga berkata tidak banyak maklumat yang diperoleh daripada mangsa nahas yang lain kerana mereka masih trauma dengan kejadian itu.

Beliau berkata ketika kejadian, bas itu membawa 32 orang iaitu 11 lelaki dan 21 wanita, termasuk pemandu serta pembantunya. Dipercayai terdapat kanak-kanak dalam bas itu ketika nahas berlaku, namun jumlah serta umur mereka yang terlibat belum dapat dipastikan.

Dalam insiden 3.05 petang itu, bas yang membawa pelancong Brunei dipercayai hilang kawalan dan terbalik di selekoh tajam sebelum melanggar sebatang pokok besar di Kilometer 8.9 Jalan Ranau-Tamparuli dekat Kampung Koporingan di Tuaran.

Bas yang didaftarkan di Brunei itu sedang dalam perjalanan pulang Kota Kinabalu dari Tawau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain