suria

PMR: 12 Calon Berkeperluan Khas Dapat Semua A

PUTRAJAYA: Pencapaian calon berkeperluan khas dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas dengan 12 daripada 1,370 calon mendapat gred A dalam semua subjek.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata jumlah itu adalah peningkatan berbanding hanya lima pelajar pada PMR 2010.

Selain itu, seramai 208 calon mendapat minimum gred D, 33 mendapat gred E dan 1,117 mendapat kombinasi gred, katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di sini hari ini.

Abd Ghafar berkata prestasi mata pelajaran pendidikan kesenian yang merangkumi Seni Tari, Muzik Teater dan Seni Visual juga meningkat.

Ini merupakan tahun ketiga kementerian itu menawarkan mata pelajaran Pendidikan Kesenian dalam PMR kepada pelajar di Sekolah Seni Johor Baharu, Johor dan Sekolah Seni Kuching, Sarawak.

Pencapaian dalam bidang kesenian itu ditaksir oleh guru masing-masing dan penaksir luar yang terdiri daripada tenaga pengajar dari Aswara, Balai Seni Lukis Negara dan Istana Budaya, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain