suria

Pihak Berkuasa Indonesia Tahan Bot Pukat Harimau Malaysia

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia telah menahan sebuah bot pukat harimau dari Malaysia bersama lima awak-awak warganegara Indonesia kerana didapati menjalankan operasi di perairan Indonesia berhampiran Kalimantan Timur.

Penahanan itu dilakukan oleh pasukan gabungan Jabatan Kelautan dan Perikanan daerah Nunukan, tentera laut Indonesia, polis marin dan udara Indonesia serta pasukan pegawai penguat kuasa daerah pada awal pagi Rabu.

Nakhoda dan empat awak-awak bot nelayan itu berasal dari Sulawesi Barat, media tempatan melaporkan pada Khamis.

Ketua Jabatan Kelautan dan Perikanan Nunukan, Supriyanto berkata pihak berkuasa turut merampas hasil tangkapan ikan berjumlah 100 kg dari bot itu semasa ia ditahan pada pukul 4.50 pagi waktu tempatan.

Bot itu dilaporkan sedang beroperasi di kawasan Karang Unarang berhampiran Pulau Sebatik iaitu wilayah perairan yang masih menjadi pertikaian sempadan oleh Malaysia dan Indonesia.

Pihak berkuasa Indonesia kemudiannya menunda bot itu dari perairan Karang Unarang berhampiran blok Ambalat (Ambang Batas Laut) ke pos polis marin dan udara daerah Nunukan Selatan, di mana bot itu serta awak-awaknya diserahkan kepada polis tempatan untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain