suria

Mustafa Dakwa Hasan, Nasharudin Adakan Pertemuan Rahsia

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada Khamis mendakwa Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa terlibat dalam satu pertemuan rahsia.

Pertemuan itu diadakan bersama tiga individu lain di Hotel Le Meridien pada bulan Ramadan lalu sebelum kontroversi terhadap mereka tercetus.

"Saya nak tanya apa yang dibincangkan? Pojek ekonomi ke projek politik atau kedua-duanya sekali? Kalau dia nak nafikan dia boleh nafi tapi saya sokong dakwaan saya.

"Kalau dia nak jawab pun tak apa, tak nak pun tak apa. Saya tidak mengharapkan dia beritahu butiran mengenai pertemuan itu tapi saya hanya ingin dia sedar bahawa saya ada maklumat mengenainya dan beberapa insiden lain," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Bagaimanapun, Mustafa enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai pertemuan itu, sebaliknya memberitahu jalan terbaik bagi Hasan adalah mengikut jejak langkah Nasharudin yang mula menjauhkan diri daripada perangkap Umno.

"Saya bukan mahu mengeruhkan lagi keadaan tetapi ingin mengingatkan dia bahawa saya ada bukti mengenai setiap pergerakannya. Jangan ingat kita tidak tahu apa yang dia buat.

"Walaupun diminta oleh pimpinan PAS supaya berhenti bercakap tapi dia teruskan juga. Jadi saya harap apabila pertemuan itu didedahkan dia akan berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya.

Pada Selasa, Hasan meminta Mustafa untuk mengemukakan bukti bahawa beliau terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan parti.

Mustafa dalam maklum balasnya terhadap Hasan memberitahu, kenyataan-kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia yang mengkritik dasar dan perjuangan PAS itu merupakan bukti beliau terperangkap dengan Umno.

Dalam mesyuarat agenda politik malam Khamis, Mustafa berkata, Hasan, Nasharudin dan juga Ketua Penerangan PAS Selangor, Shaari Sungib akan dipanggil bertemu Presiden parti itu bagi menjelaskan perkara yang berlaku.

Menurut beliau, ketiga-tiganya akan dipanggil secara berasingan bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul.

Mengulas mengenai dakwaan Hasan bahawa beliau mendapat sokongan daripada peringkat akar umbi berhubung pendiriannya, Mustafa berkata, tiada seorang pemimpin pun berada di belakangnya.

"Malah, Dewan Pemuda PAS malam tadi berkata mereka tidak menyokong beliau (Hasan). Harun Taib (Ketua Ulama) juga berkata dia tidak pernah menyokongnya. Setiausaha Akhbar Nik Aziz juga berkata perkara sama.

"Maaf, tiada perkara seperti itu. Dia tidak akan mendapat sokongan daripada peringkat akar umbi," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain