suria

Lelaki Didakwa Menipu Seorang Ahli Perniagaan Lebih RM100 Ribu

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan wang tunai lebih RM100,000, bulan lepas.

Ngow Jin Chong, 48, didakwa menipu Chong Yow Chung, 46, dengan memperdayakannya bahawa dia akan membantu membuat pertukaran wang Ringgit Malaysia kepada mata wang China Renminbi (RMB) sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM175,175 dengan memasukkannya ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.

Bapa kepada seorang anak itu dituduh melakukan kesalahan itu di kaunter Maybank di Jalan Tun H.S Lee, Dang Wangi, di sini pada 2.10 petang, 24 Nov lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang diwakili peguam F.C Fong memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh menanggung ibu, isteri dan seorang anak yang masih bersekolah.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Isteri tertuduh membayar wang jaminan itu.

Sementara itu, di mahkamah yang sama seorang peniaga berketurunan Dusun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan perniagaan berbentuk hiburan tanpa lesen, bulan lepas.

Jeystricia Lazarus, 21, didakwa menjalankan tempat hiburan kepada pelanggan tanpa lesen daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur seperti yang dikehendaki mengikut Seksyen 4(1)(B) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 di sebuah pusat hiburan berdekatan Jalan Genting Klang pada 2.15 pagi, 12 November lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(2) akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Haderiah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Robert Stimin yang mewakili wanita itu memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000.

Zaki Asyraf membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin. Rakan lelaki Jeystricia membayar wang jaminan itu.

Mahkamah menetapkan 30 Jan depan untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain