suria

Jenazah Tujuh Mangsa Kemalangan Bas Diterbangkan Pulang Ke Brunei

KOTA KINABALU: Jenazah tujuh orang pelancong dari Brunei yang terkorban dalam kemalangan sebuah bas ekspres di Tuaran dekat sini pada Selasa, diterbangkan pulang ke tanah air mereka pada Rabu.

Jenazah itu diterbangkan dengan sebuah pesawat khas Royal Brunei Airlines, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Tan Kok Liang.

Beliau berkata 21 orang penumpang yang terselamat dalam kemalangan jalan raya itu yang berlaku di Km8.9 Jalan Ranau-Tamparuli dekat Kampung Koporingan pada pukul 3.05 petang, juga pulang ke Brunei.

Seramai 13 orang daripada mereka pulang dengan pesawat khas Royal Brunei Airlines yang berlepas dari sini pada pukul 12.35 tengah hari sementara lapan orang lagi yang dalam keadaan separuh kritikal, dihantar pulang dalam dua kumpulan dan empat orang bagi setiap penerbangan pesawat Tentera Udara Diraja Brunei, berlepas pada pukul 2.25 petang dan 5 petang, katanya kepada pemberita selepas menghantar kumpulan ketiga pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini.

Bas ekspres yang didaftarkan di Brunei yang membawa 33 orang penumpang dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu dari Tawau apabila pemandunya hilang kawalan lalu terbalik di selekoh tajam jalan itu dan melanggari sebatang pokok.

Tan berkata sepasukan anggota perubatan dari Brunei mengiringi penumpang itu dalam setiap pesawat.

Katanya mangsa yang terselamat dalam keadaan separuh kritikal itu dijadual pulang malam Rabu dengan pesawat Tentera Udara Diraja Brunei.

Beliau juga berkata tiga mangsa yang terselamat yang dalam keadaan kritikal masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth, dan salah seorang yang terselamat masih berada di sini untuk membantu siasatan mengenai kemalangan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain