suria

Jangan Bermain Air, Nasihat Sultan Johor Kepada Mangsa Banjir

KLUANG: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menasihatkan mangsa banjir di negeri ini terutamanya kanak-kanak supaya tidak bermain air ketika banjir melanda beberapa daerah di negeri ini, bagi mengelakkan tragedi tidak diingini.

Baginda bertitah demikian ketika melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Agama Kampung Tengah, di sini yang dijadikan pusat pemindahan menempatkan lebih daripada 800 mangsa.

"Jangan bermain air," merupakan nasihat ringkas baginda terhadap mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir terbabit, yang merupakan pusat pemindahan terbesar di Johor pada ketika ini.

Kluang merupakan daerah yang paling teruk terjejas dengan bencana banjir di Johor dengan bilangan keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di 12 pusat pemindahan mencecah 2,154 daripada 544 keluarga.

Sultan Johor yang tiba di pusat pemindahan terbabit kira-kira 2 petang, menghabiskan 30 minit beramah mesra dengan mangsa dan bertanyakan soal kebajikan mereka ketika ditempatkan di situ.

Sebelum itu, baginda turut melawat Sekolah Kebangsaan Sri Kencana,Machap yang turut dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kluang Abdul Karim Abu Bakar yang mengiringi Sultan Johor ketika melawat Sekolah Agama Kampung Tengah itu menasihatkan mangsa supaya tidak pulang ke rumah masing-masing walaupun air mulai surut.

"Nasihat kita (kepada) mangsa banjir supaya jangan balik ke rumah dulu kerana cuaca sehingga Jumaat ini diramalkan tidak menentu. Bekalan makanan di pusat pemindahan mencukupi untuk mereka," katanya.

Beliau turut menasihatkan mangsa banjir supaya sentiasa mengawasi anak-anak kecil dan tidak membiarkan mereka bermain di kawasan yang dilanda banjir bagi mengelak sebarang tragedi.

Menurut Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga 10 pagi tadi, cuaca baik telah menyebabkan mangsa banjir di Johor menurun kepada 2,991 daripada 3,265 pada malam semalam.

Lima daerah di Johor terjejas akibat banjir iaitu Kluang, Batu Pahat, Pontian, Segamat dan Kulaijaya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain