suria

Hasan Ali Isytihar 'Perang' Terhadap PAS - Mahfuz

PETALING JAYA: Datuk Dr Hasan Ali yang memperjuangkan sebuah negara Islam dalam PAS dan menolak pelan negara kebajikan dikatakan melancarkan perang terhadap parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata parti itu telah bersetuju tentang perkara itu pada muktamar baru-baru ini dan ia tidak seharusnya dipersoalkan.

"Dengan menolak konsep menubuhkan sebuah negara Islam dan disokong oleh kepimpinan tertinggi, Hasan Ali tidak hanya melancarkan perang ke atas Mahfuz atau Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS).

"Beliau juga telah mengisytiharkan perang terhadap PAS," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, Rabu.

Mahfuz berkata adalah hipokrit apabila Dr Hasan mempersoalkan keputusan kepimpinan parti yang juga terdiri daripada majlis ulama.

"Sebelum ini, beliau berkata PAS perlu dipimpin oleh ulama. Kini, beliau menjadi orang yang melemahkan ulama," kata Mahfuz.

Beliau menambah Dr Hasan harus tahu apa yang perlu dilakukan apabila ditanya sama ada ADUN Gombak Setia dan bekas pesuruhjaya PAS Selangor harus keluar parti.

"Beliau pemegang PhD. Beliau juga seorang penceramah motivasi yang memberi nasihat kepada orang ramai.

"Jadi, dia harus tahu apa yang perlu dilakukan. Jika saya menjadi dirinya dan merasakan tidak boleh lagi mempercayai parti, saya akan angkat kaki (meninggalkan parti)," kata Mahfuz.

Sementara itu, Dr Hasan yang enggan dibabitkan dalam perdebatan dengan Mahfuz, memberitahu media bahawa beliau hanya akan menjawab isu-isu yang berkaitan dengan kedudukan beliau dalam PAS pada sidang akhbar yang akan dibuat.

"Saya tak mahu beri apa-apa ulasan. Saya hanya akan beri respons kepada soalan-soalan anda pada sidang akhbar," katanya di pejabat beliau di bangunan sekretariat negeri di Shah Alam selepas mesyuarat Exco Selangor semalam.

Ditanya sama ada beliau sedar bahawa Mahfuz telah memaklumkan untuk menolak konsep negara kebajikan parti itu, Dr Hassan berkata: "Saya tidak tahu mengenainya. Saya tidak membaca berita itu lagi. Saya baru sahaja selesai mesyuarat. Saya minta maaf. "

Artikel Berikut

Artikel Lain