suria

Hanya Tinggal 902 Mangsa Di 14 Pusat Pemindahan Banjir Johor

JOHOR BAHARU: Setakat pukul 10 malam Rabu, hanya tinggal 902 orang daripada 218 keluarga yang masih ditempatkan di 14 pusat pemindahan banjir di Johor.

Cuaca baik dari semalam telah membolehkan air banjir surut bagi membenarkan mangsa banjir balik ke rumah masing-masing.

Menurut laporan portal banjir Majlis Keselamatan Negara, jumlah pusat pemindahan yang masih dibuka ialah empat di Kluang dengan 469 mangsa, empat di Segamat (173 mangsa); lima di Batu Pahat (224 mangsa) dan sebuah pusat pemindahan di Pontian (36 mangsa).

Kawasan yang masih dilanda banjir ialah di Kampung Isnin Maarof, Kampung Sungai Linau, Parit Haji Hassan Parit Seri Paya dan Kampung Contoh di Kluang serta Kampung Batu Badak, Kampung Pogoh, Kampung Paya Dalam dan Kampung Spangloi di Segamat.

Tempat lain ialah Kampung Temeleh Kampung Sri Paya, Kampung Parit Haji Khalil, SK Bandan, Kampung Parit Haji Kamisan dan SK Bukit Kuari di Batu Pahat serta Kampung Tampok Lapis di Benut Pontian.

Cuaca baik pada hari ini turut menyumbang kepada penurunan paras air Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat, dari tahap bahaya pada 6 meter kepada tahap amaran pada 5.77 meter.

Sungai lain yang parasnya masih berada pada status amaran ialah Sungai Muar di Kampung Awat (19.58 meter) dan Buloh Kasap (9.02 meter) di Segamat serta Sungai Senggarang (3.20 meter) di Senggarang, Batu Pahat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain