suria

Hanya 25 Peratus Lepasan SPM Pilih Bidang Vokasional

KUALA LUMPUR: Hanya 25 peratus daripada kira-kira 425,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun menjurus kepada bidang teknikal dan vokasional manakala selebihnya memilih untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata hal tersebut adalah berpunca daripada sikap sesetengah anggota masyarakat yang memandang rendah terhadap bidang tersebut dan beranggapan kelulusan akademik IPT akan lebih menjamin masa depan.

"Selain itu pihak industri juga masih kurang memberi sokongan untuk melatih pekerja mahir serta terlampau bergantung kepada bantuan kerajaan.

"Akibatnya jumlah tenaga kerja berkemahiran tinggi negara pada masa ini berada di tahap 28 peratus berbanding negara luar seperti Singapura sebanyak 52 peratus, Hong Kong dan Taiwan sebanyak 40 peratus serta Korea Selatan, Jepun dan Jerman pula sudah mencapai 70 hingga 80 peratus," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Dr S. Ramakrishnan yang meminta penjelasann mengenai punca peratusan tahap kemahiran teknikal di negara ini sangat rendah.

Sehubungan itu, Maznah berkata kerajaan telah melipat gandakan usaha bagi memperkasakan bidang tersebut supaya ia dianggap sebagai satu bidang penting dalam arus perdana.

"Kementerian telah mengadakan satu kempen yang dijenamakan sebagai Skim Malaysia bagi mengubah pemikiran dan sikap rakyat Malaysia untuk mengutamakan bidang kemahiran teknikal dan vokasional.

"Selain itu, kementerian turut memfokus kepada Sistem Latihan Dual Nasional yang mana pelatih akan menghadiri 30 peratus kelas teori di pusat latihan dan 70 peratus lagi latihan dengan industri. Ini bertujuan untuk merapatkan jurang permisah di antara industri dengan pelatih," katanya.

Maznah menambah, Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Modal Insan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sedang menganjurkan satu kajian bertujuan untuk menyelaraskan pelaksanaan latihan teknikal dan vokasional. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain