suria

Empat Sekeluarga Terselamat Dalam Kebakaran Kedai Runcit

JOHOR BAHARU: Empat sekeluarga nyaris maut apabila kedai runcit yang juga juga kediaman mereka terbakar dalam kejadian di Taman Perumahan Rakyat, Lima Kedai dekat Gelang Patah pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, kebakaran disedari Wong Lian Hoe, 65, yang kemudian mengejutkan suaminya Teh Sooi Phouy, 71 serta anak mereka Teh Kim Ton, 37 dan Teh Kim Siang, 27.

"Saya terjaga bila dengar ibu menjerit setelah terhidu asap tebal dari kedai runcit kami yang terletak di tingkat bawah.

"Saya terus bawa kesemua ahli keluarga turun ke bawah dan nasib baik api belum merebak ke tingkat atas lagi," kata Kim Ton kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Kedai yang menjual barangan runcit dan telefon bimbit itu telah beroperasi sejak lapan tahun lepas dan Kim Ton menganggarkan kerugian kira-kira RM500,000.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pulai, Aminah Saimin berkata, dua jentera dari Balai Johor Baharu dan satu dari Balai Pulai digegaskan ke tempat kejadian selepas menerima laporan pukul 3.29 pagi.

Kebakaran berjaya dikawal sejam kemudian dan dipadamkan sepenuhnya lebih kurang 6 pagi tadi.

Punca kebakaran masih disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain