suria

Dirompak RM8,000 Selepas Keluarkan Duit

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki dirompak RM8,000 oleh empat lelaki yang bersenjatakan sebilah parang dan kapak selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di sini petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang tadi, mangsa yang enggan dikenali dan berumur lingkungan 20-an telah ke sebuah bank di Pekan Baru di sini untuk mengeluarkan wang, dan kemudian memandu ke Taman Intan apabila keretanya diekori oleh orang tidak dikenali.

"Kereta tersebut cuba menghimpit dan menyekat saya supaya berhenti, tetapi saya pecutkan kereta untuk menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, apabila sampai di simpang jalan masuk ke Taman Petani Jaya di sini dia telah terlanggar dua buah kereta lain di hadapannya, dan tayar keretanya pancit.

"Apabila kereta saya tidak dapat bergerak lagi, saya nampak empat orang lelaki sambil membawa sebilah parang dan kapak turun dengan pantas dari kereta mereka. Sebaik melihat mereka, saya terus keluar kereta, selamatkan diri," katanya.

Mangsa berkata mereka telah memecahkan cermin depan tingkap kereta kiri dan kanannya menggunakan kedua-dua senjata itu dan mengambil wang yang berbungkus dari dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan menurutnya polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain