suria

Dewan Negara Lulus Sembilan Rang Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Dewan Negara telah meluluskan tiga lagi rang undang-undang lewat malam ini, menjadikan keseluruhan sembilan rang undang-undang diluluskan pada persidangan Rabu.

Rang undang-undang itu adalah Rang Undang-undang Perkhidmatan Pos 2011 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang, Rang Undang-undang Veteran 2011 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Rang Undang-undang Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2011 dibentangkan oleh Datuk Seri Lajim Ukin.

Salang ketika menggulung perbahasan rang undang-undang Perkhidmatan Pos 2011 berkata walaupun Pos Malaysia Berhad telah diswastakan dan sebelumnya dikorporatkan, namun begitu tanggungjawab mereka tidak berkurangan.

Beliau berkata melalui rang undang-undang ini, perkhidmatan Pos Malaysia yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan lebih terkawal.

"Banyak negara yang ingin mencontohi Malaysia iaitu keunikan perkhidmatan kita dalam mengawal selia perkhidmatan yang dilihat lebih baik dari dulu. Negara-negara di Afrika bila jumpa pegawai-pegawai kita, mereka ingin tahu bagaimana kita boleh melakukan perkhidmatan sebaik ini," katanya.

Dalam pada itu, Salang berkata Pos Malaysia tidak bercadang untuk menurunkan caj perkhidmatan kurier untuk bersaing dengan syarikat kurier yang lain.

"Kita berharap dengan ada persaingan pesat ini, Pos Malaysia akan menambah baik perkhidmatan kurier mereka," katanya.

Rang Undang-undang Perkhidmatan Pos 2011 adalah bagi menggantikan Akta Perkhidmatan Pos 1991 dengan mewujudkan peruntukan baru bagi mengawal selia dengan lebih baik industri perkhidmatan pos.

Selain menggalakkan pembangunan industri yang teratur dan melindungi perkhidmatan pos sejagat dalam persekitaran yang semakin kompetitif, serta memperluaskan SKMM sebagai instrumen perundangan dan kawal selia yang lebih komprehensif bagi memastikan kepentingan rakyat dan negara terus terpelihara selepas perkhidmatan pos diswastakan sepenuhnya.

Dengan penguatkuasaan rang undang-undang itu kelak akan menjadikan Malaysia negara terawal di dunia menswastakan sepenuhnya perkhidmatan pos setelah kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad melupuskan kepentingan 32.21 peratus ekuiti dalam Pos Malaysia Berhad.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang meminta pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyediakan jawapan kepada senator yang tidak dapat mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan)(Pindaan) 2011.

Katanya Senator Mumtaz Md Nawi, Senator Khoo Soo Seang dan Senator Abdul Rahim Abdul Rahman mengemukakan soalan bertulis kepada pegawai-pegawai kementerian berkenaan.

"Saya mahu pegawai-pegawai kementerian menyediakan jawapan kepada pandangan yang diberikan oleh senator-senator yang terlibat kerana kesuntukan masa pada malam ini. Banyak soalan yang tidak berjawab dalam penggulungan dan senator yang tidak dapat mengambil bahagian dalam perbahasan ini," katanya.

Persidangan dewan disambung Khamis. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain