suria

Datuk Saripuddin Kasim Dilantik KSU KPDNKK Yang Baru

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang baru mulai 26 Disember ini.

Beliau menggantikan Datuk Mohd Zain Mohd Dom yang bersara wajib pada 25 Dis, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Saripuddin, 52, berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Hartford, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Jan 1984 dan berpengalaman dalam bidang pembangunan sumber manusia dan pengurusan ekonomi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang baru mulai 30 Dis ini, menggantikan Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim yang bersara wajib pada 29 Disember.

Abdul Puhat, 54, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Asia Tenggara dari Universiti Malaya.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Jan 1984 dan berpengalaman dalam bidang pembangunan sosial, pentadbiran daerah serta negeri.

Mohd Sidek turut mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Datuk Ismail Ibrahim sebagai Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri yang baru mulai 26 Dis bagi menggantikan Saripuddin.

Ismail, 57, berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perniagaan Tani dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 26 Nov 1979 dan berpengalaman dalam bidang pengurusan kewangan dan pentadbiran awam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain