suria

BR1M Bantu Ringankan Beban Rakyat, Bukan Perangkap:Awang Adek

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin hari ini menegaskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah usaha ikhlas kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah, dan bukan 'perangkap' seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Katanya beliau menerima banyak aduan daripada orang ramai, khususnya peniaga kecil yang bimbang untuk memohon BR1M kerana berpendapat mereka mungkin diminta membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelak.

"Saya ingin menjelaskan bahawa bukan niat kerajaan untuk menyusahkan golongan yang layak menerima BR1M ini kerana bantuan RM500 itu dapat meringankan beban mereka dalam keadaan ekonomi sekarang," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini.

Katanya tidak ada agenda tersembunyi di sebalik BR1M dan LHDN dilantik sebagai ejen kerana agensi itu mempunyai maklumat lengkap pembayar cukai, sekali gus memastikan penyaluran BR1M hanya kepada yang layak.

Mengulas isu berbeza, Awang Adek yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok menafikan dakwaan salah laku rasuah membabitkan dirinya yang kini tersebar di internet.

Katanya sumbangan yang diterima itu adalah untuk kerja kemasyarakatan di kawasan Bachok meliputi program tuisyen bagi subjek Bahasa Inggeris untuk 33 sekolah rendah, sumbangan wang dan membaik pulih rumah penduduk miskin.

"Saya menerima wang tersebut dari syarikat-syarikat perniagaan untuk tujuan kebajikan dan bukannya dari individu. Para pegawai saya di Bachok juga mempunyai semua rekod berkaitan dengan wang derma tersebut seperti siapakah pendermanya, di manakah wang itu disalurkan dan sebagainya," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata maklumat lengkap berkaitan perkara itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan susulan.

Antara lain dakwaan itu yang dikatakan didedah blog peniup wisel menyebut Awang Adek menerima wang secara bulanan daripada seorang individu bergelar 'Datuk'. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain