suria

Anak Rayu Bantu Cari Bapa Hilang

BESUT: Seorang anak meminta bantuan orang ramai untuk mencari bapanya seorang pengidap penyakit Alzheimer yang didapati hilang ketika menaiki keretapi dari Wakaf Baru, Kelantan menuju Johor Baharu Sabtu lalu.

Lee Ee Seng yang merupakan Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga Bandar Jerteh berkata bapanya Lee Eng Tong, 75, menaiki keretapi pada pukul 8.45 malam dari Stesen Wakaf Baru bersama ibunya Ooi Kim Kee untuk ke rumah adiknya di Johor Baharu.

Beliau berkata bapanya disedari hilang oleh ibunya kira-kira 6.00 pagi pada hari berikutnya ketika keretapi dalam perjalanan menuju Gemas.

"Ibu saya percaya bapa saya telah turun sendirian di salah satu stesen antara Kuala Lipis dan Bahau tanpa disedari," katanya.

Lee berkata bapanya memakai baju berkolar warna hitam dan berjalur kuning serta berseluar panjang hitam.

Beliau yang telah membuat laporan polis turut memohon kerjasama orang ramai yang menemui bapanya supaya menghubunginya di talian 012-6971303 atau 016-7796818. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain