suria

Polis Melaka Jejaki Tiga Lelaki Bantu Siasatan Kes Samun Kedai Serbaneka

MELAKA: Polis sedang mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun kedai serbaneka di sekitar negeri ini sejak pertengahan bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata mereka ialah Muhammad Awaludin Razali, 20, dari Kampung Tampoi Krubong; Izzat Zulhelmi Wairon Abdul Kadir, 21, dari Taman Perwira Cheng; dan Mu'az Lokman, 24, dari Kampung Gemang, Ayer Lanas, Kelantan.

"Polis percaya ketiga-tiga suspek tersebut dapat membantu menyelesaikan beberapa kes samun yang dilakukan oleh sekumpulan sindiket yang telah berjaya ditumpaskan oleh pasukan petugas khas menangani jenayah pada 15 Dis lepas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ketiga-tiga individu tersebut diminta menghubungi ASP Venlan Midok di talian 016-6318338 atau balai polis berhampiran dengan segera," katanya pada sidang media, di sini Rabu.

Salehhudin berkata dalam operasi 15 Dis itu, tiga anggota sindiket termasuk seorang wanita, berusia antara 26 dan 28 tahun diberkas ketika berada dalam sebuah kenderaan di kawasan Rumah Pangsa Taman Aneka, Kampung Lapan, di sini.

Polis turut merampas sepucuk pistol tiruan beserta kelopak, satu set aksesori pistol tiruan, sebilah parang, sebilah pisau panjang, dua set nombor pendaftaran palsu dan topeng muka.

Katanya menerusi tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun iaitu lapan di Melaka Tengah dan masing-masing satu kes di Alor Gajah serta Jasin.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek itu direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun serta sebatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain