suria

Lelaki Mati Ditembak 10 Das

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang sedang menunggu di dalam kereta mati ditembak sekumpulan lelaki di perkarangan Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana, Batu Caves, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan berkata Morgishu Subramaniam, 40, warga tempatan, mati di tempat kejadian selepas terkena 10 das tembakan dari jarak dekat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa dikatakan sedang menunggu saudara perempuannya, Krisnani Subramaniam, di dalam kereta Toyota Vios.

Katanya mangsa tiba-tiba didatangi lima lelaki yang memakai topi keledar sebelum 11 das tembakan dilepaskan ke arah mangsa.

Rosly berkata 10 das tembakan itu mengenai mangsa manakala satu das lagi mengenai Krisnani yang ketika itu sedang menghampiri kereta mangsa.

"Mangsa terkulai dan maut di dalam keretanya selepas terkena 10 das tembakan manakala sebutir peluru pula mengenai tulang rusuk kanan Krisnani yang berada berdekatan kereta," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau berkata mangsa terkena satu das tembakan di kepala, dua di dada serta selebihnya di seluruh badan.

Katanya kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki dua buah kereta iaitu Proton Waja berwarna emas dan Mitsubishi Storm berwarna hitam sebelum jiran yang menyedari kejadian itu menghubungi polis.

"Dalam kejadian itu, cermin kereta (mangsa) sebelah pemandu pecah akibat tembakan jarak dekat yang dilepaskan yang mana serangan terbabit juga dipercayai bermotifkan cemburu dan dendam," katanya.

Rosly berkata setakat ini polis baru menemui tujuh kelongsong peluru di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan ke atas kelongsong tersebut, suspek didapati menggunakan pistol jenis semi automatik 9mm.

"Kita kini sedang memburu kesemua suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil atau menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat sementara saudaranya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang.

Difahamkan mangsa bekerja sebagai buruh binaan dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain