suria

Kenal Pasti Punca Kelewatan Projek Pembangunan, PM Dijangka Jumpa Semua Kementerian

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mempengerusikan mesyuarat dengan semua kementerian pada pertengahan bulan Januari depan untuk mengenal pasti isu-isu bagi menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek pembangunan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata mesyuarat itu akan mengenal pasti isu-isu seperti kelulusan tanah, bangunan dan kelulusan berkanun yang telah melambatkan pelaksanaan projek sebelum ini.

"Pada pertengahan Januari nanti, Perdana Menteri akan bertemu dengan semua kementerian untuk menyelesaikan masalah permintaan dalaman termasuk perbelanjaan kerajaan (yang merupakan) elemen penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kita mencapai sasaran," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai tinjauan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun depan.

Sebelum itu, Ahmad Husni menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) di Kompleks Kementerian Kewangan di sini.

Di Malasyia, Ahmad Husni berkata kerajaan menekankan kepada permintaan dalaman, yang antara lain ialah perbelanjaan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kewangan telah membentangkan kepada Perdana Menteri inisiatif yang telah diambil untuk memastikan perbelanjaan efektif dan efisien pada tahun depan, dalam satu mesyuarat pada Isnin lalu.

"Penekanan telah diberikan oleh Perdana Menteri supaya perbelanjaan kerajaan ini dapat dijalankan dan dilaksanakan secara efektif dan efisien.

"Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengadakan mesyuarat dengan semua Ketua Setiausaha Kementerian untuk memastikan segala halangan untuk melaksanakan pembangunan mesti diselesaikan," katanya.

Mengenai jangkaan ekonomi pada tahun depan, Ahmad Husni berkata ekonomi dunia dijangka "menurun sedikit" malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga dijangka menurunkan unjuran pembangunan.

"Sekiranya ekonomi dunia tidak mencapai atau jauh daripada unjuran, sekurang-kurangnya negara kita tidak akan menghadapi suasana yang kurang daripada unjuran kita.

"Pada peringkat ini, kita dapat melaksanakan permintaan dalaman iaitu pelaburan dan perbelanjaan domestik. Kita jangka kita masih boleh mencapai 5.0 hingga 6.0 peratus (kadar pertumbuhan ekonomi) yang kita sasarkan," katanya.

Ahmad Husni berkata Malaysia telah mencatat 5.8 peratus pertumbuhan ekonomi pada suku tahun ketiga.

"Kita dapati bahawa perbelanjaan kerajaan pada suku tahun pertama dan kedua agak perlahan dan bagi suku tahun ketiga, baru kita nampak perbelanjaan sebenar... Kita jangka pada suku tahun keempat, pembangunan akan memuncak," katanya.

Mengenai rangsangan perbelanjaan berjumlah RM6 bilion yang dibentangkan Najib dalam Belanjawan 2012, Ahmad Husni yakin peruntukan tersebut adalah cukup.

"Buat masa ini, kita tidak lagi melihat keperluan menambah (peruntukan dalam rangsangan perbelanjaan).

"Masalah di EU bukan mudah diselesaikan. Kita jangka bahawa kerajaan melalui EU dan penglibatan badan pelbagai hala seperti penyertaan IMF, penyelesaian akan dicapai tetapi bila kita tidak dapat jangkakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain