suria

Kemukakan Bukti Saya Terperangkap Dalam Agenda Umno: Hasan Ali

KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali pada Selasa mencabar Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali supaya mengemukakan bukti yang mengaitkannya terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan parti itu.

Beliau berkata, Mustafa dengan bongkak dan sombongnya telah menggunakan autoriti jawatannya secara melatah dan hilang arah hingga sanggup bermain dengan api fitnah.

Akibatnya, menurut Hasan, Mustafa telah meletakkan dirinya di paras yang rendah dari sudut kewibawaan serta kemampuan mengawal emosi.

"Saya betul-betul terperanjat membaca kenyataan yang dikeluarkan beliau dan juga Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Mereka bukan saja menyerang saya tapi memberi gambaran bahawa kedudukan saya dalam parti tidak dapat bertahan lama," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Hasan turut menyifatkan kenyataan Mahfuz yang dengan sinis mempersilakannya menyertai Umno sebagai kenyataan yang mungkin ditimbulkan oleh orang yang bankrap pemikiran dan tidak mengikuti perkembangan muktahir sesuatu isu.

"Saya tidak perlu mengulangi lagi kenyataan yang pernah saya buat mengenai hal ini. Saya tidak berminat untuk mengulanginya lagi," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Hasan turut mendesak agar Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip dirujuk kepada Lembaga Disiplin kerana bertindak mendahului Presiden apabila mengumumkan senarai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut beliau, kenyataan Saari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu mengenai penggugurannya sebagai calon di kerusi Gombak Setia merupakan punca tercetusnya polemik tersebut sehingga menyebabkan pergeseran antara pemimpin parti.

"Beliaulah yang mula menyemai bibit-bibit perpecahan di kalangan ahli dan penyokong parti. Tindakan beliau jelas tidak menguntungkan parti," katanya.

Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor meminta supaya siasatan terperinci dibuat ke atas proses pencalonan dan keputusan akhir bilangan pencalonan yang diterimanya di kawasan Gombak.

"Siasatan ini dicadangkan bagi melenyapkan sebarang spekulasi yang timbul berkaitan dengan pencalonan saya," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau mahu Mahfuz dan Mustafa turut dikenakan tindakan disiplin, Hasan berkata, beliau menyerahkan hal itu kepada pucuk pimpinan parti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain