suria

Ibu Tunggal Terima 34 Jahitan Setelah Dicederakan Perompak

GURUN: Seorang ibu tunggal menerima 34 jahitan setelah dicederakan seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Kampung Banggol Lalang dekat sini awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, Sharifah Hassan, 57, mengalami kecederaan di lengan kanan, jari kelingking kanan serta kedua-dua paha semasa bergelut dengan lelaki tersebut.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya, wanita itu berkata dia sedang tidur bersendirian dalam biliknya dan telah terjaga apabila terdengar bunyi pintu rumah ditendang.

Katanya tiba-tiba muncul seorang lelaki di depannya dan lelaki itu cuba meragut rantai lehernya tetapi dia melawan dan berjaya menendang penceroboh itu ke dinding.

"Kami bergelut hampir setengah jam. Semasa lelaki itu merentap rantai leher saya hingga terputus dua, saya sempat menendangnya ke dinding lalu lari ke rumah jiran minta pertolongan menyebabkan lelaki itu melarikan diri," katanya.

Katanya jirannya iaitu pelakon Sheila Mambo membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Yan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan menurutnya polis sedang menyiasat kes itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain