suria

Pemilik Hotel Resah MAS Henti Beberapa Laluan

KUALA LUMPUR: Tindakan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menghentikan sementara operasi beberapa laluan antarabangsa tahun depan membuat industri perhotelan di negara ini "resah gelisah".

Presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata tindakan MAS itu juga bertentangan dengan galakan cukai kerajaan kepada pengusaha hotel baru bertaraf empat dan lima bintang.

"Sebagai hotel antarabangsa, mereka memerlukan pelancong antarabangsa," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

MAS mengambil langkah pelan pemulihan itu setelah dilaporkan mencatat kerugian mencecah RM1.2 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Antara destinasi terlibat ialah Cape Town, Johannesburg, Buenos Aires dan Dubai yang hanya akan kembali beroperasi setelah kewangan MAS kukuh kelak.

Abdul Aziz berkata tindakan MAS itu akan mengurangkan kedatangan pelancong antarabangsa ke negara ini.

"Sedangkan kita lihat syarikat penerbangan seperti Thai Airways, Singapore Airlines dan Cathay Pacific meneruskan operasi dan berkhidmat di laluan-laluan berkenaan, laluan ke Malaysia akan tersisih," katanya.

Beliau berkata walaupun MAS mempunyai alasan tertentu, sepatutnya sebagai syarikat penerbangan negara, ia tidak menarik diri begitu sahaja tetapi meningkatkan promosi demi membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

"Tindakan jangka pendek ini merugikan pada jangka panjang terutama dalam sektor perhotelan dan pelancongan," katanya.

Berdasarkan galakan cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2012, pengusaha hotel bertaraf empat dan lima bintang diberi taraf perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus ke atas pendapatan statutori selama lima tahun.

Abdul Aziz berkata dengan galakan cukai itu, ia menarik beberapa pengusaha hotel antarabangsa untuk masuk ke Malaysia seterusnya mendorong mereka mencari lokasi-lokasi istimewa untuk pembinaan hotel baru. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain