suria

Nadir Bumi Boleh Menjadi Bidang Pertumbuhan Baru Malaysia

KUALA LUMPUR: Nadir bumi boleh menjadi satu bidang pertumbuhan baharu bagi membantu Malaysia menjana untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Ketua Pegawai Eksekutif Academic of Sciences Malaysia (ASM) Dr Ahmad Ibrahim.

"Oleh kerana minyak, tanah dan rezab yang lain semakin berkurangan, kita perlu mencari peluang baharu dan bidang itu adalah salah satu daripadanya," katanya kepada pemberita selepas pelancaran laporan bertajuk "Industri Nadir Bumi: Menggerakkan Ekonomi Hijau Malaysia ke Hadapan" di sini Selasa.

Katanya keseluruhan skala industri berteknologi tinggi bergantung kepada bekalan mampan elemen nadir bumi itu.

Nadir bumi digunakan secara meluas di dalam perkilangan pelbagai produk hiliran yang mempunyai aplikasi yang meluas di dalam industri yang termasuk aeroangkasa, elektronik pengguna, automotif dan telekomunikasi.

"Jika Malaysia serius untuk bergerak memasuki industri ini, kita perlu menjalin usahasama dengan banyak perniagaan dan syarikat yang telah terlebih dahulu memasuki pasaran itu kerana mereka mempunyai akses dan teknologi ke pasaran itu.

"Kita tidak boleh melakukan perkara itu secara sendirian," katanya.

Dengan menerokai usahasama berkenaan, Ahmad berkata ia boleh membantu Malaysia membina modal insan, teknologi dan sumbernya sendiri untuk menjadi satu pemain utama di dalam industri itu.

Permintaan mendapatkan galian nadir bumi dijangka berkembang dan Malaysia tidak sepatutnya hanya fokus pada nilai rendah dari huluan malah turut menerokai lebih jauh ke bidang hiliran kerana ia akan membantu memupuk ekonomi negara ini, katanya.

Kini, Malaysia mempunyai 30,000 tan metrik rezab nadir bumi dari sisa deposit timah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain