suria

Dewan Negara Lulus Rang Undang-Undang Perbekalan 2012

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 (Belanjawan 2012) berjumlah RM232.8 bilion bagi perbelanjaan perkhidmatan tahun 2012.

Belanjawan itu diluluskan kira-kira 10.37 malam selepas dibahaskan 21 anggota Dewan Negara selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 Disember lepas.

Ia dibacakan buat kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Pada 7 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2012 yang merangkumi RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion bagi pembangunan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie semasa mengulung perbahasan berkaitan kementerian itu berkata nisbah seorang pegawai kebajikan masyarakat dengan penerima bantuan adalah 1:300 berbanding piawaian antarabangsa 1:30.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot Jaem berkata kerajaan Malaysia amat prihatin dengan kebajikan rakyat negara ini yang mengalami kesulitan ketika berada di luar negara.

Kementerian Luar sentiasa memantau penahanan rakyat Malaysia melalui Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara dan pegawai di sana akan membuat lawatan konsular bagi memastikan layanan serta kebajikan tahanan terpelihara, katanya semasa menggulung perbahasan berkaitan kementerian itu.

"Sebaik sahaja maklumat mengenai penahanan seseorang rakyat Malaysia diterima daripada perwakilan, kementerian akan memanjatkan maklumat kepada keluarga dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memastikan hak asasi mereka dilindungi di bawah undang-undang negara tersebut serta Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963," katanya.

Persidangan Dewan disambung Selasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain