suria

Ah Peng Tokoh Maal Hijrah Bukan Islam Daerah Kulim

KULIM: Seorang usahawan, Tan Khim Pheng, 46, hari ini dinamakan sebagai Tokoh Maal Hijrah kategori bukan Islam bagi daerah Kulim.

Tan, yang lebih popular dengan panggilan Ah Peng, terkenal di daerah itu kerana sering menghulurkan derma kepada masjid, surau dan golongan kurang bernasib baik beragama Islam, menerima anugerah itu daripada Pegawai Daerah Kulim Mohd Fisol Md Noh, yang juga Pengerusi Perayaan Maal Hijrah Daerah Kulim, pada majlis yang diadakan di Dewan Bandaran di sini.

Tan berkata hadiah wang tunai RM1,000 yang diterimanya itu akan didermakan kepada tahung bantuan am Pejabat Agama Islam daerah Kulim. Beliau turut menerima sebuah plak serta sijil.

"Saya berharap hadiah tersebut akan didermakan kepada mereka yang kurang upaya dan miskin," katanya.

Sejak 2006 Tan menderma sebahagian keuntungan yang diperolehnya melalui jualan di pasar mininya kepada pelbagai masjid dan surau.

Tokoh Maal Hijrah Negeri Kedah Tahun 2004 Mohd Noor Saad, 76, yang juga pakar rujuk Tabung Haji Zon Utara, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Daerah Kulim tahun ini. Beliau menerima sebuah plak, sijil dan RM1,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain