suria

Usaha Perlu Ditingkatkan Untuk Tambah Nilai Port Dickson

PORT DICKSON: Kementerian Pelancongan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meningkatkan lagi usaha menambah nilai dan memperkasakan pantai peranginan Port Dickson sebagai destinasi utama pelancongan negara, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata pakej dan program pelancongan di Port Dickson perlu dipelbagaikan untuk merangsang kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa khususnya negara anggota Asean.

"Pantai peranginan Port Dickson sememangnya terkenal sebagai pusat destinasi percutian terbaik negara ini di kalangan pelancong antarabangsa dan domestik, namun usaha untuk menambah baik perlu dilakukan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertunjukan tatu Tentera Darat di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, malam tadi.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Datuk Zulkifli Zainal Abidin.

Dr Ng berkata Port Dickson juga sering dikaitkan dengan ketenteraan berikutan kewujudan banyak kem tentera dan Pusasda.

"Tetapi apa yang boleh menarik pelancong apabila Port Dickson dikaitkan dengan ketenteraan? Oleh itu, kita perlu ada program menarik di sini. Misalnya, pertunjukan tatu Tentera Darat ini adalah suatu inisiatif yang bukan sahaja sangat sesuai kepada tentera dan orang ramai tapi juga boleh dijadikan sebagai satu produk pelancongan.

Dr Ng berkata langkah itu seiring dengan dasar Kementerian Pelancongan yang selalu mencari produk pelancongan unik dalam usaha membangunkan produk pelancongan di negara ini.

"Untuk itu, kita perlu merancang mengadakan program seperti pesta atau karnival selama seminggu di Port Dickson agar pelancong boleh tinggal lama di sini. Dalam masa yang sama, para pelancongan juga boleh dibawa menikmati pakej pelancongan yang disediakan di sekitar Port Dickson," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain