suria

Sikap Keterlaluan Segelintir Pemimpin, Lemahkan PAS: Nasharudin

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa membidas kenyataan golongan tertentu dalam parti itu yang bersikap keterlaluan sehingga melemahkan prinsip dan tradisi PAS.

Menurut beliau, sikap sedemikian amat membimbangkan kerana sudah menular dalam pentadbiran PAS pusat.

"Saya tidak kata pemimpin tidak boleh mengkritik. Kritikan amat dialu-alukan tetapi bukan sampai mengaibkan orang lain," katanya.

Nasharudin turut kecewa dengan sikap segelintir pemimpin parti itu yang mendahului Presiden apabila mengumumkan calon yang akan digugurkan pada Pilihan Raya Umum akan datang.

"Malah Presiden parti (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) juga terkejut dengan pengumuman itu.

"Dalam PAS, Majlis Syura akan memilih calon berkelayakan manakala presiden akan memutuskan senarai akhir calon yang akan bertanding," katanya.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok dan Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali didakwa antara calon yang akan digugurkan.

Kedua-dua pemimpin itu turut didakwa terperangkap dengan agenda UMNO untuk melemahkan PAS.

Dalam temu bual bersama sebuah akhbar semalam, Nasharudin berkata, parti itu telah menyimpang dari perjuangan asal.

Beliau dipetik sebagai berkata, masyarakat umum bukan saja menganggap parti itu tiada pendirian dalam beberapa perkara tetapi berbahaya.

Nasharudin, 49, pada Ahad berjanji akan kekal bersama PAS dan terus memperjuangkan prinsip parti.

Artikel Lain