suria

Empat Rakan Maut, Dua Lagi Cedera Dalam Kemalangan Di Kota Tinggi

JOHOR BAHARU: Empat sekawan terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki terhumban ke bawah lereng bukit di Kota Tinggi semalam.

Kejadian berlaku di Km 33.7, Jalan Johor Baharu-Mersing kira-kira 5.30 petang.

Mereka yang terbunuh di tempat kejadian dikenali sebagai Ng Sin Yun, 17, dari Kota Kecil; Winnie Ng, 18, juga dari Kota Kecil; Tey Jia Xin, 17, dari Kampung Lukut Cina dan Ching Hui Sean, 18, dari bandar Kota Tinggi.

Pemandu kereta Toyota Innova berkenaan, Victor Ng Wee Tai, 17, cedera dan mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta di sini.

Seorang lagi mangsa juga cedera dan dirawat di HKT.

Dalam kejadian berkenaan, dilaporkan kenderaan tersebut dipercayai gagal dikawal ketika mengambil selekoh lalu melanggar bucu penghadang jalan dan merempuh papan tanda jalan.

Ia kemudian terhumban ke bawah lereng bukit sedalam kira-kira 90 meter.

Seorang rakan mereka, Tee Heng Chong, 17, berkata mereka dalam perjalanan pulang ke Kota Tinggi.

"Kami pergi beramai-ramai dan hanya mereka berenam yang menaiki kereta sementara yang lain menggunakan bas. Kami mengunjungi pameran pendidikan dan kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Johor Baharu," katanya ketika ditemui di HKT.

Keenam-enam mangsa baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya menghubungi hotline polis di talian 07-2212999 atau balai polis berdekatan.

Beliau menasihati pemandu supaya lebih berhati-hati dengan keadaan jalan raya yang licin kerana Johor kini mengalami musim hujan. - BERNAMA

Artikel Lain